Friday, 7 June 2013


Pertolongan Cemas
Kemahiran Asas Pertolongan Cemas, Tujuan Dan Kepentingannya

Pertolongan cemas bermaksud bantuan permulaan atau rawatan awal yang diberikan kepada individu yang mengalami kecederaan dalam sebarang kejadian kecelakaan sama ada kemalangan atau sakit yang muncul secara tiba-tiba dengan menggunakan objek atau sebarang alat bantuan yang ada di sekeliling sebelum ambulan, doktor atau pakar perubatan ataupun sebelum mangsa dihantar ke hospital.
Objektif memberi bantuan pertolongan cemas adalah untuk menyelamatkan nyawa, mengelakkan kecederaan mangsa menjadi lebih parah dan mengurangkan kesakitan mangsa sementara sebelum dihantar ke hospital.
Sebelum melakukan pertolongan cemas, kamu perlu menilai situasi mangsa terlebih dahulu berdasarkan 5 perkara penting di bawah:
1.    Bahaya – Lihat jika ada sebarang tanda-tanda bahaya. Pastikan keselamatan anda dan mangsa terjamin atau dalam ertikata lain, alihkan bahaya dari mangsa atau alihkan mangsa dari bahaya.
2.    Periksa Pendarahan – Jika ada pendarahan, cuba hentikan pendarahan dengan segera.
3.    Respon – Panggil mangsa atau kejutkannya, minta bantuan ambulan jika tiada tindak balas dari mangsa.
4.    Saluran Udara – Dongakkan kepala mangsa untuk membuka saluran pernafasan dalam keadaan mangsa baring dengan kaedah mendongakkan kepala kemudian angkat dagu mangsa.
5.    Pernafasan – Periksa pernafasan mangsa dengan membuat 3M iaitu Melihat, Merasa dan Mendengar. Jika tiada pernafasan, beri 2 hembusan bantuan.
6.    Peredaran Darah – Periksa nadi kerotid sebelah trakea dengan 2 jari. Jika terdapat denyutan nadi bermakna ada denyutan jantung, jika tiada lakukan CPR.
Ambil langkah perlu untuk menilai situasi mangsa. Jika mangsa sedarkan diri, tanya kecederaan yang dialami. Gunakan kaedah di bawah:
1.    Sebarang tanda atau gejala.
2.    Jika memiliki alahan tertentu.
3.    Adakah mengambil sebarang ubat-ubatan tertentu dan apakah jenis ubatan tersebut.
4.    Penyakit atau kecederaan lama yang sudah sembuh atau masih menerima rawatan.
5.    Makanan terakhir yang dimakan.
6.    Punca kejadian.
Sebaliknya jika mangsa tidak sedarkan diri, lakukan 5 perkara di bawah:
1.    Periksa tanda-tanda utama kecederaan yang ada pada bahagian badan mangsa.
2.    Periksa nadi.
3.    Periksa pernafasan.
4.    Periksa tekanan darah (jika perlu).
5.    Periksa suhu badan mangsa.
Mungkin jika difikirkan logik, ramai yang mengabaikan pengetahuan tentang kemahiran asas pertolongan cemas, tidak hairan juga jika rata-rata rumah, sebarang premis atau pejabat tidak mempunyai peti pertolongan cemas sekalipun. Masing-masing terlalu mengharap pada bantuan dari pembantu perubatan, jururawat atau doktor untuk melakukan tugas mereka.
Kemahiran pertolongan cemas walaupun hanya sekadar asas sahaja sudah cukup untuk menyelamatkan nyawa jika di suatu masa kamu berada di situasi yang memerlukan tindakan segera. Mempunyai kemahiran seperti ini bukan untuk kamu menjadi seorang pengamal perubatan atau sebagainya tetapi sekurang-kurangnya mahirkan diri untuk membantu diri kamu, rakan-rakan malah keluarga kamu sendiri.



No comments:

Post a Comment